Daftar Isi
LancangKuning.com - Berkat menjaga ibu yang menghidap sakit misteri selepas kematian bapanya dua tahun lalu, bukan penghalang Mohamad Nur Firdaus Zulkifli muncul pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seluruh Kelantan dengan mendapat 11A+ dalam semua mata pelajaran yang diambil.Lebih membanggakan bagi anak yatim berusia 18 tahun itu turut memecah rekod sekolahnya, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kamil dengan muncul sebagai pelajar pertama mendapat A dalam 11 mata pelajaran sejak sekolah itu ditubuhkan pada tahun 1954.
Nur Firdaus, akan bongsu daripada dua beradik mendapat A+ dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Bahasa Arab, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia, Pendidikan Al-Quran dan Sunnah, Biologi serta Pendidikan Syari’ah Islamiah.Pelajar itu yang hadir bersendirian kelihatan tenang menerima keputusan peperiksaan daripada Pengetua Sekolahnya, Mohd Razak Che Yaakob walaupun rakan-rakan lain datang bersama ibu bapa masing-masing.“Saya tidak pernah menganggap menjaga ibu selepas kematian ayah adalah beban, sebaliknya ibu menjadi kekuatan saya untuk terus berjaya.“Rahsia kejayaan saya pula mudah, saya beri tumpuan penuh dalam kelas dan buat kerja sekolah sebaik diberikan guru kerana itu latihan terbaik,” katanya ketika ditemui di SMK Kamil, di sini, hari ini.
Katanya, dia juga akan mengulangkaji setiap malam selepas Isyak dan memanfaatkan aplikasi Telegram dengan mengetahui tips dan latih tubi terkini dengan rakan-rakan sama tingkatan di seluruh Malaysia.“Saya cari maklumat yang sesuai dan berhubung dengan mereka berkaitan soalan, latihan atau apa saja berkaitan pelajaran selain saya juga mengambil kelas tambahan Bahasa Arab dan berhubung dengan guru-guru untuk lebih faham mengenai sesuatu mata pelajaran,” katanya yang kematian bapa, Zulkifli Mahmood, dua tahun lalu akibat sakit buah pinggang.Nur Firdaus berkata, dia berhasrat menyambung pelajaran di Universiti Malaya (UM) dan bercita-cita mahu menjadi doktor pakar jantung.Sementara itu, ibunya, Sarimah Shaffii, 50, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tanjong Kong, terkejut apabila mendapat tahu anak bongsunya itu mencatat keputusan cemerlang dalam SPM sehingga muncul pelajar terbaik di Kelantan.
Katanya, Nur Firdaus atau lebih mesra dikenali sebagai ‘adik’ adalah anak yang pendiam dan tidak pernah berenggang dengan buku.“Saya sangat bangga dengan kejayaan ini sekali gus menjadi penawar yang mengubat hati saya selepas kematian ayahnya,” katanya yang tidak bekerja.Sarimah memberitahu, dia menghidap penyakit misteri sebelum kematian suaminya lagi apabila dia tidak mampu berdiri lama, pitam secara tiba-tiba dan mengalami sakit kepala yang kronik.Katanya, mereka bertiga termasuk Nur Firdaus dan kakaknya, Siti Nor Umirah, 21 bergantung sepenuhnya pada wang pampasan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) arwah suami, yang bekerja di kilang swasta.
Komentar